PASIR PUTEH – Seorang pembantu mekanik maut selepas dihempap pemberat getah mesin penghantar (conveyor) semasa sedang bekerja di sebuah kuari di Mukim Jerus, Selising di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang berusia 28 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tidak sedarkan diri akibat dihempap peralatan tersebut.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati, seorang lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa merupakan seorang pembantu mekanik sudah meninggal dunia akibat dihempap pemberat getah mesin penghantar di kuari tersebut.
“Pemeriksaan lanjut tidak menjumpai sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tengku Anis di sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE