fbpx

Mierul Aiman si anak mak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARU memiliki sebuah kediaman sendiri di Sepang, Mierul bagaimanapun lebih senang tinggal bersama ibunya yang selalu keseorangan di rumah.

NAMANYA melonjak sejak fenomena drama Projek: High Council, aktor muda, Mierul Aiman kini semakin deras mendaki puncak dunia seni. Jejaka berusia 27 tahun itu tidak sekadar mengecap kejayaan semusim, malah kelibatnya terus rancak menghiasi televisyen dan platform penstriman OTT, selain menjadi pilihan jenama terkemuka sebagai duta atau wajah kempen.

Rezekinya melimpah ruah sehinggalah sudah mampu membeli rumah pada usia muda. Langkah yang baik, namun ada pula angin bertiup desas-desus bahawa pembelian aset tersebut merupakan satu persiapan awal Mierul untuk menamatkan zaman bujang.

Enggan membiarkan khabar angin terus bertebaran, pemilik nama lengkap Mohammad Amirul Aiman Norazman itu tampil menafikan dakwaan tersebut. Tegasnya, dia sudah lama merancang untuk membeli rumah sebagai pelaburan masa depan dan bukannya kerana sedang merancang perkahwinan dalam masa terdekat.

“Eh, bukan sebab nak kahwin. Memang saya teringin ke arah itu, tapi bukan sekarang. Fokus saya adalah mempersiapkan diri dari segi kewangan.

“Alhamdulillah, saya berjaya membeli sebuah kediaman jenis ‘service apartment’ di Sepang hasil simpanan dalam bidang seni. Lagi pun kawasan itu strategik dan membangun serta mempunyai pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium dan surau.

“Selain untuk kediaman sendiri, saya bercadang menjadikan rumah itu sebagai sumber pendapatan pasif menerusi platform seperti Airbnb,” katanya kepada HibGlam.

Berjimat cermat, pelakon Projek: Exit itu mengakui dididik ibu bapanya sejak kecil tentang pentingnya menabung dan melabur untuk masa depan.

“Kita tak tahu apa akan berlaku pada masa depan, terutama dari segi ekonomi. Sebab itu, saya percaya melabur dalam hartanah adalah langkah terbaik. Pulangannya tinggi dan menjamin kestabilan kewangan.

“Insya-Allah, selepas ini saya ada perancangan untuk membeli aset lain pula. Langkah kecil ini adalah sebahagian daripada strategi masa depan,” ujarnya.

Kendatipun sudah memiliki kediaman sendiri, juara Hero Remaja 2021 itu masih memilih untuk menetap di rumah keluarga demi menemani ibu tercinta.

“Bapa saya seorang kakitangan kerajaan dan bekerja di Perak. Beliau hanya pulang ke rumah hujung minggu. Kakak saya pula sudah berkahwin, manakala adik-adik ada yang sedang belajar dan bekerja.

“Jadi, bila saya tak terlibat dengan penggambaran, saya akan temankan mama di rumah. Itu tanggungjawab saya sebagai anak lelaki,” jelasnya.

Berkongsi perkembangan terkini, pelakon yang dikenali dengan rahang jantan itu sedang sibuk mempromosikan rancangan travelog sukan hasil kerjasama dengan Liga Perdana Inggeris iaitu From KL to PL musim kedua.

Dihoskan Nabil Ahmad, rancangan tersebut turut melibatkan pemain bola sepak wanita Malaysia, bintang futsal, Intan Serah dan wartawan sukan Astro Arena, Abang Med yang bersiaran setiap Khamis bermula 23 Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI