MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim mengesahkan status pemain sensasi, Alejandro Garnacho masih ‘tergantung’ kerana mungkin dibenarkan berhijrah sebelum jendela perpindahan ditutup pada 31 Januari depan.
Sebagai rekod, khidmat Garnacho menjadi buruan beberapa kelab terkemuka Eropah seperti Napoli dan kini, seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea menunjukkan minat yang serius untuk menyambarnya dengan dana maksimum £60 juta (RM329 juta).
Amorim yang ditemui selepas pasukannya menang 2-1 ke atas Rangers pada aksi Liga Europa awal pagi semalam masih percaya bintang muda Argentina itu mempunyai kualiti yang cukup penting untuk membantu pasukan musim ini.
“Buat masa sekarang, saya hanya fokus untuk memastikan pasukan melakar kemenangan dan Garnacho juga masih berada di sini. Dia adalah pemain yang cukup penting buat kami tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.
“Garnacho masih lagi muda dan prestasinya semakin meningkat. Malah, dia juga bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan tidak kira ketika menyerang atau membantu pertahanan pasukan,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan bertemu Rangers, Amorim menarik nafas lega dengan prestasi pasukan untuk meletakkan sebelah kaki ke pusingan 16 terbaik dengan mengumpul 15 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.
“Semua pemain telah menjalankan tugas dengan baik dengan meningkat kawalan bola berbanding perlawanan lepas. Kita sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol tetapi apa yang penting kita dapat tiga mata,” katanya.
Gol-gol The Red Devils diperoleh menerusi jaringan sendiri penjaga gol lawan, Jack Butland dan Bruno Fernandes, manakala pelawat meraih gol tunggal hasil penyudah Cyriel Dessers. – AGENSI