PETALING JAYA – Agensi penarafan antarabangsa Moody’s Ratings (Moody’s) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan stabil.
Penarafan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta mengekalkan komitmen terhadap pembaharuan fiskal di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global dan perpecahan geopolitik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengesahan penarafan Moody’s merupakan pengiktirafan ke atas usaha berterusan Kerajaan Madani dalam memacu perubahan struktur, berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.
Katanya, kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia.
“Dalam tahun ini, Kerajaan Madani akan memesatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi seperti yang digariskan di bawah Belanjawan 2025.
“Di samping memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta mempercepatkan pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kepelbagaian ekonomi dan peluang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan mengambil kesempatan selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan saling menguntungkan bagi rantau ini.
Moody’s menjelaskan Malaysia bakal menjadi ekonomi berpenarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang, disokong oleh kepelbagaian struktur ekonomi, daya saing, kestabilan harga, pasaran modal domestik yang kukuh, dan sistem kewangan yang sofistikated.
Selain itu, agensi tersebut turut mengiktiraf sokongan politik yang kukuh telah membolehkan kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang signifikan, termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Berdasarkan anggaran awal, Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2024 mencatatkan pertumbuhan 4.8 peratus dengan sasaran pertumbuhan ekonomi bagi 2024 dijangka berada antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.
Kerajaan optimis pertumbuhan akan kekal teguh pada 2025, dengan unjuran antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
Defisit fiskal juga dijangka menurun secara beransur-ansur daripada 4.3 peratus pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025.
Langkah konsolidasi fiskal ini selaras dengan sasaran di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. – KOSMO! ONLINE