MERSING – Polis mengesahkan punca kematian pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 19 Jalan Mersing Endau semalam adalah disebabkan lemas.
Mangsa dikenali sebagai Shahrom Tahir, 74, dan Zainab Yusoff, 64, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas ke dalam parit.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata pihak polis menerima maklumat kemalangan melibatkan dua kenderaan itu pada pukul 12.30 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun dari arah Endau menuju ke Mersing telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Perodua Alza itu kemudian bertembung dengan sebuah kereta jenis Volkswagen dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun dan mengakibatkan kenderaan berkenaan terbabas ke dalam parit.
“Pasangan suami isteri itu yang berada di bahagian penumpang belakang kereta Volkswagen meninggal dunia akibat lemas,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jelas Abdul Razak, pemandu dan penumpang hadapan iaitu wanita berusia 27 tahun mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Mersing.
Tambahnya, seorang penumpang Perodua Alza iaitu seorang wanita berusia 46 tahun mengalami kecederaan patah tangan kiri dan sedang menerima rawatan di Hospital Mersing. – KOSMO! ONLINE