PETALING JAYA – Polis sedang menunggu laporan forensik dan keputusan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian remaja perempuan berusia 15 tahun, Yap Xin Yuan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selepas mendapat laporan terbabit, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Jelasnya, ketika ini siasatan hanya tertumpu kepada kandungan dos dadah dalam badan mangsa untuk memastikan ia menjadi punca kematian.
“Kita (polis) perlu menunggu laporan forensik sebelum merujuk kes ini kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Advokasi sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, suspek boleh direman maksimum 14 hari dan jika bukti tidak mencukupi, mereka boleh dibebaskan dengan jaminan tetapi tetap berdepan pertuduhan sekiranya bukti kukuh diperoleh kemudian.
Sebelum ini, dua daripada tiga suspek yang terlibat dengan pembunuhan Xin Yuan diberikan jamin dengan diikat bon di bawah Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkat prosedur tersebut membolehkan mereka dijamin dengan syarat hadir semula ke mahkamah untuk prosiding lanjut.
Kosmo! pada 2 Januari lalu, melaporkan polis mengesahkan mayat reput remaja perempuan yang ditemui di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting adalah Yap Xin Yuan, yang dilaporkan hilang sejak 19 Disember lalu.
Pengesahan itu susulan hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan pihaknya sebelum ini. – KOSMO! ONLINE