PETALING JAYA – Polis Selangor sedang mengesan saki baki warga asing yang bertindak menyerang anggota Maritim Malaysia (APMM) di perairan Tanjung Rhu, Banting, awal pagi semalam.
Ini kerana kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berdasarkan kapasiti bot berkenaan ia mungkin boleh dinaiki antara 15 hingga 20 individu dalam satu-satu masa.
Jelasnya, semasa kejadian bot terbabit dalam perjalanan untuk keluar dari perairan negara
namun telah bertembung dengan petugas APMM yang menjalankan tugas rondaan di kawasan tersebut.
“Kita percaya masih ada saki-baki warga asing dipercayai warga Indobesia yang menaiki bot berkenaan dan siasatan lanjut berkaitan kejadian itu masih dijalankan.
“Setakat ini kita tidak menjumpai sebarang senjata lain (selain parang) atau bahan terlarang dalam bot berkenaan. Siasatan awal juga mendapati kelima-lima suspek (termasuk seorang maut) tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Advokasi sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, keadaan keempat-empat suspek yang terkena tembakan dalam kejadian itu kini dalam keadaan stabil.
“Kita telah melakukan proses rakaman percakapan ke atas seorang suspek, manakala tiga lagi masih belum dilakukan,” ujarnya.
Beliau sebelum ini berkata, siasatan mendapati bot suspek melanggar sebanyak empat kali sebelum dua daripada mereka cuba menyerang penguat kuasa dengan parang.
“Atas faktor keselamatan dan mempertahankan diri, pegawai Maritim terpaksa melepaskan beberapa tembakan ke arah bot itu.
“Bot itu bagaimanapun kemudian berjaya melarikan diri berikutan dalam keadaan yang gelap,” katanya.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi semalam, lima lelaki warga Indonesia termasuk seorang maut ditembak di perairan Tanjung Rhu, Banting, Kuala Langat.
Kesemua mangsa itu berusia 30 hingga 40an dengan tiga yang cedera dihantar ke Hospital Serdang dan seorang di Hospital Klang. – KOSMO! ONLINE