KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa hubungan erat di antara Malaysia dan China juga berlandaskan kefahaman budaya dan hormat-menghormati.
Beliau menegaskan, aspek budaya juga perlu diberi perhatian di samping kerjasama dalam urusan pelaburan dan perdagangan.
“Semangat ini harus ada tatkala kita menyambut Tahun Ular sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini di samping semangat ASEAN yang ada.
“Selain keperluan menekankan soal pelaburan dan perdagangan, kita juga harus mengangkat kefahaman dan hormat-menghormati dari segi budaya serta peradaban seperti yang ditekankan sendiri oleh Presiden China, Xi Jinping,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan China di Menara Berkembar Petronas (KLCC), di sini malam ini.
Anwar berkata, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang akan berlangsung di Malaysia pada tahun ini sempena kepengerusian ASEAN juga diharapkan dapat mengalakkan pemahaman yang lebih baik di antara dua negara.
November lalu media melaporkan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 secara rasmi menjemput pemimpin China untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC.
Fahmi berkata jemputan itu disampaikan oleh Anwar kepada Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang ketika beliau melakukan lawatan kerja ke China pada November lepas. – KOSMO! ONLINE