BALING – “Kenapa sekarang, sedangkan (suspek) telah berhenti kerja di sini lebih dua tahun lalu, tiba-tiba rakan-rakan dan orang ramai bertanya samada kami yang membulinya,” kata salah seorang daripada 200 pekerja di sebuah kilang getah di Kampung Chenerai, Kuala Pegang, semalam.
Pekerja itu juga turut menanggung malu dan tekanan akibat daripada dakwaan suspek bahawa dia telah menjadi mangsa buli di tempat kerja.
“Kami kebingungan, suspek tidak pernah mengadu dibuli sebelum berhenti kerja lebih dua tahun lalu. Seingat saya, dia seorang pekerja yang rajin tetapi lebih banyak menyendiri, ketika dia hendak berhenti kerja, dia beritahu kami dia mendapat tawaran kerja lain.”
“Dia berhenti dengan cara baik, malah berjabat tangan dengan kami untuk mengucapkan selamat tinggal, tidak ada pun tanda-tanda ketegangan ataupun pertelingkahan antara dia dengan pekerja lain ketika dia pergi,” kata lelaki yang telah bekerja di kilang tersebut lebih daripada satu dekad.
Menurut Mohamad Zamri Ahmad, 45, pula, dakwaan suspek itu merupakan satu tamparan hebat yang berganda, selepas kehilangan rumah dalam insiden kebakaran pada 24 Disember lalu.
“Sudahlah saya kehilangan rumah, kereta dan motosikal dalam kebakaran itu, kini, saya dan isteri, Nurul Wahida Md Saad, 35, perlu berdepan dengan tuduhan tidak berasas bahawa saya telah membulinya.”
“Kami pun tidak bekerja pada syif yang sama tetapi, pengguna media sosial menyalahkan kami kerana kononnya membulinya. Adakah itu adil?” katanya ketika ditemui di sisa-sisa rumahnya di Kampung Bukit Terabak, semalam.
Zamri menafikan sekeras-kerasnya dia tidak pernah menyakiti suspek dan juga mempersoalkan mengapa suspek membuat dakwaan itu sekarang, hanya selepas dia ditangkap polis atas kesalahan membakar rumah. – KOSMO! ONLINE