fbpx

Glorious: Jaclyn Victor dahulu, kini dan selamanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENYAMBUT tahun ke-20 keberadaan dalam industi muzik, Jaclyn muncul dengan sebuah album yang istimewa berjudul, Glorious.

BERDURASI sekitar 33 minit, penyanyi kebanggaan Malaysia, Jaclyn Victor muncul dengan album studio terbaharu berjudul Glorious, sekali gus menyambut 20 tahun kelestariannya bergelumang dalam bidang seni suara tanah air.

Penulis sempat berjeda daripada kesibukan seharian menghayati dan memberi apresiasi terhadap diskografi vokalis hebat terbabit baru-baru ini dalam penerbangan menuju Singapura untuk satu tugasan di sana.

Glorious sebuah buah tangan atau perkongsian membuktikan bahawa Jac masih antara penyanyi wanita terhebat negara. Dari segi melodi, komposisi dan nukilan lirik, album ini membawa mesej tersendiri yang wajar ditabur pujian.

Pertama sekali, dari segi gubahan atau komposisi muzik, Glorious memberi bukti konkrit bahawasanya, dalam ramai penyanyi bukan Melayu, Jac adalah yang paling ‘dekat’ dengan rakyat Malaysia umumnya.

Trek pertama, Lepaskan Saja terkandung rentak ‘up-tempo’ dengan diselitkan mainan atau suntikan muzik Afrobeats pada permulaan lagu dan kemudian berganjak deras dengan elemen muzik house pada bahagian korus.

Secara peribadi, mendengar Lepaskan Saja terkenang campuran muzik lagu Calm Down (dendangan Rema & Selena Gomez) dan Stupid Love (Lady Gaga) yang menderu masuk pada bahagian korus dan selanjutnya.

Percubaan baharu

Itu satu percubaan baharu yang bagus daripada Jac dan pasukannya. Jac bukan sahaja penyanyi lagu bernada tinggi yang sinonim dengan lagu berentak perlahan, tetapi benar, ‘she can sing whatever song she wants’. Seperti kata penerbit yang juga bekas juri program Malaysian Idol, Jac seorang super duper singer!

Masih terngiang-ngiang lagu rancak nyanyian Jac awal kemunculannya termasuklah Satu Harapan yang pernah menjadi lagu tema drama fenomena suatu ketika dahulu berjudul Manjalara.

Untuk trek kedua, Jac memilih untuk meneruskan elemen rancak dalam Glorious menerusi Kejutkan Aku.

Dengan suntikan muzik funk sebelum berderas dengan berbagai melodi termasuk house dan electropop, trek ini antara kegemaran penulis. Jac turut berkolaborasi dengan ramai pemuzik termasuk Amir Jahari yang barangkali agak asing dalam kalendar muziknya sebelum ini. Itulah evolusi!

Selain lagu balada seperti Sesal Tak Bermakna dan Airmataku yang berentak balada, Jac turut menjelajah genre rock yang dipamerkan dalam lagu berjudul Inilah Saatnya.

Saat Jac mendendangkan lagu berentak rock, semuanya kedengaran ‘menjadi’. Jac merupakan epitome singing machine tetapi ketika rock menjadi pilihan, umpama satu dimensi baharu dibuka dalam kamus muziknya.

Album diakhiri dengan lagu keramat berjudul Glorious. Lagu ini merupakan antem Gemilang dalam versi bahasa Inggeris yang memberi tuah buat susuk bernama Jac ketika diangkat sebagai Malaysian Idol pertama 20 tahun lalu.

Mungkin ini hanya pendapat peribadi penulis, tetapi Glorious lebih kuat menebarkan teori bahawa lagu tersebut dicipta untuk Jac bertarung dengan Fantasia Barrino (pemenang American idol musim ketiga) suatu ketika dahulu yang tidak kesampaian.

Dahulu, sewaktu dinobatkan sebagai Malaysian Idol timbul ura-ura Jac sepatutnya bertarung untuk program realiti World Idol, namun tunggu punya tunggu, impian itu tidak kesampaian. Bayangkan jika Jac dan Fantasia bertanding atas satu pentas sama, pasti gempak!

Apapun, Gemilang merupakan antara antem mengejar impian yang paling hebat dalam sejarah muzik Malaysia. Jac terus kekal relevan dalam dunia seni muzik tanah air, Jac dahulu, kini dan selamanya. Tidak keterlaluan andai disifatkan Jac umpama penyanyi bertaraf ‘Siti Nurhaliza’ versi berketurunan India.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI