KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun memenangi aksi pertembungan sesama sendiri selepas menewaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik di separuh akhir pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters.
Pada perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, pasangan No.13 dunia itu dipaksa bermandi peluh sebelum mencatat kemenangan 21-18, 21-15 ke atas bekas juara dunia tersebut.
Turun menentang Aaron-Wooi Yik yang memikul status sebagai pilihan kedua kejohanan nyata memberi lebih keselesaan kepada Wei Chong-Kai Wun untuk bermain tanpa berdepan banyak tekanan.
“Sebelum perlawanan hari ini, kami hanya fokus pada persiapan sendiri kerana mereka lebih baik daripada kami. Kami juga bermain tanpa banyak tekanan, jadi ia beri kelebihan.
“Esok masih ada lagi satu perlawanan dan saya harap kami boleh dapat keputusan yang terbaik. Kami gembira bermain di sini,” kata Wei Chong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Lebih menarik, Wei Chong-Kai Wun merupakan beregu lelaki pertama Malaysia yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir Indonesia Masters sejak ia dipertandingkan pada 2010.
Menjelang perlawanan akhir esok, naib juara Terbuka Indonesia tahun lalu itu akan membuat perhitungan dengan wakil tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menewaskan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand 21-14, 24-22.
Turut melangkah ke perlawanan akhir adalah beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang akan berdepan pasangan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong. – KOSMO! ONLINE