KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah menempah aksi final pertama musim ini selepas mara ke perlawanan akhir Pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters.
Pada aksi separuh akhir di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, pasangan No.7 dunia itu dipaksa bermandi peluh sebelum menang 21-19, 21-16 ke atas Lee Yeon Woo-Lee Yu Lim dari Korea Selatan.
Thinaah berkata, kemenangan itu cukup penting buat dia dan Pearly dalam usaha kembali mendapatkan permainan sebenar selain mengekalkan rentak konsisten.
“Ini (kemenangan) sangat penting kerana kami mahu mengembalikan permainan sebenar selain mendapatkan semula momentum selepas berdepan situasi naik dan turun.
“Sudah tentu kami mahu mendapatkan kejuaraan tetapi apa yang paling penting sekarang adalah jangan letakkan tekanan kepada diri sendiri,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menjelang perlawanan akhir esok, bekas juara Terbuka Perancis itu akan membuat perhitungan dengan satu lagi pasangan Korea, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong yang menewaskan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dari China.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara Indonesia Masters dalam beregu wanita adalah menerusi gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2011. – KOSMO! ONLINE