HARIMAU Malaya sudah tidak sabar untuk ‘mengaum’ sebagai memulakan langkah revolusi menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula Mac depan.
Sebagai rekod, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan bantuan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim telah merombak Harimau Malaya secara keseluruhan sejak bulan lalu.
Badan induk bola sepak negara itu telah melantik ‘pakar’ antarabangsa seperti, Peter Cklamovski selaku ketua jurulatih, Dr. Craig Duncan (ketua prestasi dan sains sukan) serta Rob Friend (ketua pegawai eksekutif) dalam skuad Harimau Malaya.
Kapten pasukan kebangsaan pada Piala Asean 2024, Syamer Kutty Abba menyifatkan tahun 2025 bakal menjadi penanda aras baharu buat skuad kebangsaan yang kini dalam proses revolusi secara ‘total’.
Kata Syamer, kehadiran Cklamovski yang menggantikan Pau Marti Vicente mampu menaikkan lagi motivasi semua pemain dalam usaha memulihkan martabat Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
“Ini satu perjalanan yang kita mulakan, saya harap proses ini akan menjadi lebih baik untuk kita mencapai sejauh mana yang kita boleh.
“Jurulatih ada sasarannya, sebagai pemain kami perlu tunjukkan yang terbaik dan jika diberi peluang bermain untuk negara, ia satu penghargaan,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan oleh pemain sayap negara, Safawi Rasid yang menganggap pengendali dari Australia itu memiliki aura yang tersendiri.
“Sudah tentu mana-mana jurulatih baharu yang datang menunjukkan semangat yang tinggi, pemain pun kena bersemangat untuk membentuk kerjasama dalam pasukan.
“Saya tengok karakter beliau (Cklamovski) macam tegas. Saya akan memberi aksi terbaik bersama kelab dan keputusan terpulang kepada ketua jurulatih, saya hanya perlu bekerja keras,” katanya.