MUAR – Hanya seorang daripada dua nelayan dari Jeti Nelayan Muara Sungai Duyong, Padang Temu, Melaka yang hilang ketika keluar memukat di perairan Pulau Undan pada 15 Januari lalu selamat tiba di Jeti Feri Bandar Maharani Bandar Diraja di sini hari ini.
Rosenizam Maharam, 55, tiba bersama abang dan adiknya, Erman serta Siti Marliza manakala tekong bot, Muarep Sakem, 63, masih berada di Dumai kerana masalah beberapa dokumen yang masih belum lengkap.
Dia melahirkan rasa syukur setelah dapat pulang ke Melaka selepas enam hari bertarung nyawa bersama Muarep sewaktu bot mereka hanyut hingga ditemukan nelayan di Pulau Rupat, Indonesia pada 21 Januari lalu.
“Sepanjang 10 tahun saya menjadi nelayan, ini adalah kejadian pertama menimpa saya apabila enjin bot rosak dan dibawa arus kuat melintasi perairan antarabangsa hingga dijumpai nelayan di Pulau Rupat.
“Bot rosak pada Khamis pagi selepas jaring koyak dan kami ambil keputusan untuk pulang ke jeti dan ketika itu enjin bot tidak dapat dihidupkan walaupun berkali-kali mencuba.
“Saya hubungi pemilik bot kira-kira pukul 11 pagi maklumkan enjin rosak dan minta bantuan namun berjam-jam kami menunggu akhirnya bot tidak dapat dikemudi kerana arus dan ombak terlalu kuat,” ujarnya ketika ditemui sejurus tiba di Jeti Feri Bandar Maharani Bandar Diraja di sini hari ini.
Katanya, kebetulan ikan yang dipukat dan sedikit beras menjadi makanan mereka sehingga hari keenam serta sekadar meneguk air semata-mata.
Ujarnya, kira-kira pukul 7.00 malam sebuah bot nelayan dari Pulau Rupat yang sedang menurunkan pukat ternampak mereka sebelum membantu menarik bot dan membawa ke Kampung Sukarjo Mesem di pulau berkenaan.
“Sejurus kami diselamatkan diberi makan dan minum, saya terus menghubungi adik saya memaklumkan kami berjaya diselamatkan nelayan dari Pulau Rupat pada Selasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE