SUNGAI SIPUT – DAP menyokong sebarang bentuk perhimpunan termasuk seperti penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang diadakan di ibu negara pada minggu ini selagi ia diadakan secara aman.
Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, beliau sendiri bersama ramai pemimpin kerajaan ketika ini juga pernah menyertai perhimpunan untuk menolak sebarang rasuah dan salah guna kuasa.
“Dari atas jalan kita sampai ke Putrajaya. Semangat demokrasi kita tetap junjung bersama. Semangat antirasuah sememangnya perjuangan kerajaan Madani,” katanya kepada pemberita dalam Program Sentuhan Kejayaan Kampung Baru Tahun 2024 oleh kementeriannya di sini hari ini.
Namun katanya, perhimpunan yang diadakan perlu diadakan secara aman, tidak melibatkan penggunaan senjata berbahaya serta memberikan notis kepada pihak berkuasa.
Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata, kerajaan tidak akan menghalang mana-mana himpunan jika ia bertujuan melawan atau membanteras aktiviti rasuah di negara ini.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, terserah kepada ahli-ahli DAP sama ada mahu menyertai perhimpunan itu atau tidak. – KOSMO! ONLINE