“Isteri bagi ‘green light’ kahwin dua, saya seram.”
Demikian satu ungkapan yang terbutir dari bibir aktor Taiyuddin Bakar mendedahkan isterinya, Norzila Zulkifli memberi ‘lesen’ untuk berpoligami ketika tahun kelima perkahwinan mereka kerana ketiadaan zuriat.
Jika kebanyakan wanita lain menentang poligami, Norzila atau mesra disapa Zila, 44, yang merupakan anak ketiga pelakon terkenal, Allahyarham Datuk Zulkifli Zain itu bersikap sebaliknya.
Tidak hanya memberi usul untuk suaminya berkahwin lain, dia bahkan mencarikan Taiyuddin atau nama sebenarnya Sallehudin Abu Bakar itu calon isteri paling sesuai.
“Lelaki lain kalau isteri beri kebenaran kahwin lagi mesti melompat gembira, saya pula, dengar dia kata begitu terus rasa seram. Isteri sanggup berkorban emosinya semata-mata mahu lihat saya ada zuriat.
“Rasa seram sebab saya sedar betapa besar tanggungjawab lelaki terhadap wanita dan ketika itu saya katakan pada isteri, jika benar mahu saya berpoligami, carikanlah calon,” lentur lelaki berusia 42 tahun itu membuka bicara ketika pertemuan bersama HibGlam baru-baru ini.
Dalam tempoh pencarian, lima orang wanita telah menarik perhatian Zila termasuklah rakan baiknya sendiri yang sempat dirisik untuk dijadikan isteri kedua Taiyuddin. Bagi Zila mencari madu dalam kalangan rakan sendiri lebih mudah kerana sudah saling memahami.
“Setiap kali jumpa orang yang dia rasa okey, dia tanya mahu kahwin dengan saya atau tidak (ketawa). Sampaikan rakan baiknya sendiri dirisik dan dibawa jumpa ibu saya. Tetapi idea untuk berkahwin dua mendapat tentangan ibu saya,” kata Taiyuddin yang menikahi Zila pada Mei 2014 di Madinah selepas 10 tahun bercinta.
Zila yang berada di sisi Taiyuddin berkata, selain alasan ketiadaan zuriat, pada waktu sama dia juga mahu menguruskan bapanya (kini arwah) yang terlantar sakit. Bimbang tidak dapat menjalankan tanggungjawab seorang isteri dengan baik dia meminta Taiyuddin berpoligami.
Tambah Zila, ibunya pelakon juga penyanyi, Datin Normala Omar pernah menasihatinya bahawa kelemahan utama lelaki adalah wanita.
Jadi, andai suaminya mahu berkahwin lain jika bukan sebab zuriat sekali pun, dia berlapang dada asalkan menghormatinya dengan berterus-terang.
“Kami pernah bergaduh sebab suami tidak faham niat saya suruh dia berkahwin lagi. Akhirnya dia mengalah dan meminta saya carikan calon, tetapi sehingga kini belum ada lagi isteri kedua,” kongsi Zila.
Anak
Mungkin asbab berserah kepada Allah, Taiyuddin dan Zila akhirnya dikurniakan cahaya mata sulung, Ahmad Ansari selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.
Kelahiran Ahmad Ansari adalah hadiah yang tidak ternilai buat mereka.
Zila sebenarnya langsung tidak pernah mengandung atau keguguran sebelum ada ‘Ahmad Ansari’ di dalam rahimmya.
“Kami tidak mengambil sebarang produk kesihatan, tidak juga menjalani pemeriksaan kesuburan atau melakukan sebarang proses kehamilan menggunakan teknologi seperti IVF (persenyawaan in vitro).
“Jika jalani pemeriksaan dan ada masalah, kami pasti akan kecewa, jadi lebih baik berserah sepenuhnya kepada Allah,” kata pelakon yang popular dengan filem Hantu Bonceng dan Mael Lambong itu.
Detik Zila disahkan hamil dan kali pertama mendengar degup jantung bayi dalam kandungan isteri adalah memori terindah yang tidak akan dilupakannya.
“Saya masih ingat isteri periksa kehamilan pukul 3 pagi dan naik dua ‘line’, malam itu saya tidak boleh tidur dan tidak sabar untuk ke klinik. Dapat dengar bunyi jantung baby ketika itu, perasaan seronok tidak boleh diungkap.
“Alhamdulillah, sekarang anak sudah setahun dan perkahwinan kami sudah masuk tahun ke-11. Cuma isteri masih tidak melupakan niat dia mahu bermadu, dalam pantang pun dia boleh minta saya cari isteri baharu.
“Dia kata, kalau saya mahu anak ramai, saya perlu kahwin dengan wanita lebih muda. Dia bersalin anak sulung pun pada usia 41 tahun. Sekarang saya belum terfikir lagi, tidak tahu masa depan bagaimana,” luah Taiyuddin disambut tawa si isteri.
Sempat menitip pesan kepada golongan yang masih menanti zuriat, kata Taiyuddin, jangan pernah berhenti berdoa. Kita tidak tahu bila Allah akan kurniakan rezeki itu.
“Doa, doa dan doa. Percaya pada aturan Allah sepenuhnya kerana rezeki anak akan diberikan pada waktu yang tepat,” getus Taiyuddin.
Beralih soal karier, Taiyuddin yang kini menyertai tabligh masih mahu aktif sebagai pelakon, namun mengakui tawaran tidak seperti dahulu. Dalam masa sama, fokusnya terarah terhadap band punk rock, Uncure.
“Saya masih suka, ingin terus berlakon dan terbuka memainkan sebarang watak ikut tawaran yang diberikan. Cuma sekarang, permainan industri sudah berbeza. Saya juga mahu kembangkan band Uncure ke pasaran komersial,” tutur Taiyuddin yang merupakan vokalis band tersebut.