KUALA LANGAT – Lima lelaki warga Indonesia termasuk seorang maut ditembak di perairan Tanjung Rhu, Banting di sini, dipercayai melanggar bot dan menyerang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menjalankan tugas rondaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati bot suspek melanggar sebanyak empat kali sebelum dua daripada mereka cuba menyerang penguat kuasa dengan parang.
“Atas faktor keselamatan dan mempertahankan diri, pegawai Maritim terpaksa melepaskan beberapa tembakan ke arah bot itu.
“Bot itu bagaimanapun kemudian berjaya melarikan diri berikutan dalam keadaan yang gelap,” katanya pagi ini.
Menurutnya, APMM kemudian menerima maklumat awam mengenai penemuan sebuah bot yang terdampar di Pantai Banting, kira-kira pukul 9 pagi semalam iaitu hari sama.
“Pemeriksaan kemudian menemukan dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menunda bot dinaiki mereka ke pangkalan Maritim di Pelabuhan Klang.
“Seorang lelaki didapati meninggal dunia manakala seorang lagi masih hidup dan dalam keadaan kritikal lalu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi rawatan lanjut,” ujarnya.
Tambah Hussein, pihaknya menerima satu laporan polis oleh Pegawai Perubatan, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, yang menyatakan menerima tiga pesakit lelaki disyaki warga asing dalam keadaan sedar yang cedera akibat tembakan pada anggota badan.
“Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan danSeksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian tembakan dipercayai berlaku di sekitar perairan Pantai Morib, dekat sini.
Kesemua mangsa itu berusia 30 hingga 40an dengan tiga yang cedera dihantar ke Hospital Serdang dan seorang di Hospital Klang. – KOSMO! ONLINE