KOTA TINGGI – Seorang bakal pengantin maut, manakala dua adiknya cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah lori Hino di Kilometer 52 Jalan Johor Bahhru – Mersing kira-kira pukul 4 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, semasa kejadian, mangsa, Siti Nabila Rudin, 22, bersama dua adiknya difahamkan dalam perjalanan pulang dari Kota Masai ke Tanah Merah, Kelantan kerana mangsa bakal melangsungkan perkahwinan di negeri itu.
“Dalam kemalangan itu, pemandu Perodua Myvi cedera parah pada bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Dua adiknya masing-masing seorang lelaki berusia 14 tahun dan seorang perempuan berusia 22 tahun mengalami kecederaan.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan Perodua Myvi cuba memotong kenderaan di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan lori jenis Hino,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata, mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan siasatan, manakala kesemua mangsa yang cedera dirujuk ke hospital sama bagi rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE