PUCHONG – Memiliki tiga anak tiri yang sudah seperti kawan baik, penyanyi Sarah Suhairi tidak rasa terbeban menggalas tanggungjawab walaupun baru enam bulan bergelar isteri kepada suami, Aswad Anuar.
Sarah, 25, berkata, jarak usia yang tidak terlalu jauh dengan tiga puteri daripada perkahwinan pertama teman hidupnya itu membuatkan mereka cepat mesra dan serasi.
“Saya masih dalam fasa membiasakan diri dengan kehidupan berumah tangga terutama menguruskan keluarga. Suami saya mempunyai tiga anak, namun menetap dengan ibu mereka.
“Apabila cuti sekolah mereka dengan kami. Saya tak rasa terbeban sebab kami dah macam kawan. Jarak umur pun tak jauh sangat. Adik bongsu saya sebaya dengan anak sulung. Sama-sama umur 15 tahun.
“Ketiga-tiga mereka juga sangat mudah diuruskan. Antara mereka, anak kedua yang selalu datang rumah,” katanya selepas pelancaran lagu duet bersama Sufian Suhaimi, Dengan Lafaznya, baru-baru ini.
Akui Sarah lagi, komunikasi merupakan elemen penting dalam mana-mana hubungan terutama dalam kekeluargaan mahupun persahabatan.
Ujarnya lagi, sebagai ibu tiri dia enggan ada jurang antara mereka malah perlu pandai mengambil hati anak-anak yang turut disayanginya itu.
“Alhamdulillah, semuanya okey. Mereka pun kerap ikut saya kerana tinggal di Kuala Lumpur serta memahami kerjaya seni.
“Setiap hari suami menghantar mereka ke sekolah dan jika mempunyai urusan saya akan ambil alih tanggung jawab tersebut.
“Tiada masalah pun. Mereka lahir dari perut ibu mereka jadi saya kena sesuaikan dari sudut komunikasi dan ambil hati,” ujarnya.
Aswad, 40, yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempunyai tiga cahaya mata perempuan berusia 15, 13 dan sembilan tahun hasil perkahwinan terdahulu.
Mengenai kerjasama dengan Sufian menerusi single ciptaan Aiman Sidek, lagu terbabit merupakan duet pertama mereka yang juga kaborasi antara MVM Production dan Warner Music Malaysia. -KOSMO! ONLINE