SEREMBAN – Sebanyak 608 aduan kenderaan terbiar, usang serta tersadai diterima Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sepanjang tahun lepas.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, aduan yang diterima itu melibatkan kawasan perumahan dan kenderaan usang dan terbiar yang dikenal pasti kebanyakannya lebih daripada lima tahun.
Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 849 merupakan jumlah kenderaan yang telah ditarik melalui Jabatan Undang-Undang & Penguatkuasaan, Majlis Bandaraya Seremban.
“Meletakkan kenderaan terbiar atau usang di tempat awam merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan kompaun, sitaan dan pendakwaan di mahkamah di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
“Bagi kenderaan yang tidak dituntut, ia akan dilupuskan sebagai besi buruk (scrap) mengikut peruntukan yang berkuat kuasa,” katanya kepada pemberita di sini.
Masri berkata, MBS juga akan menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 melalui pelantikan warden trafik yang telah diwartakan pada tahun 2022.
Justeru, katanya, MBS akan terus mempergiat rondaan bagi memantau isu dan masalah yang berlaku dalam kawasan pentadbirannya.
“Warga bandar raya Seremban yang mempunyai sebarang aduan atau cadangan boleh mengemukakan melalui SISPAA MBS mbseremban.spab.gov.my atau muat turun secara percuma Aplikasi Respon Rakyat atau boleh juga hubungi terus ditalian 06-7654444, ” ujarnya. – KOSMO! ONLINE