SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerima 183 aduan daripada orang awam berkaitan isu harga dan bekalan makanan dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, daripada jumlah tersebut, 68 kes melibatkan harga barangan dan perkhidmatan manakala 20 lagi berkaitan bekalan barang kawalan dan selebihnya adalah lain-lain telah dicatatkan bemula dari 1 Januari sehingga semalam.
Katanya, dalam tempoh sama, pihaknya telah memeriksa sebanyak 4,833 premis dan 96 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Setakat ini, jumlah sitaan direkodkan adalah sebanyak RM285,693.22 manakala kompaun RM16,000.
“Peningkatan aduan membuktikan ramai semakin peka selain ketangkasan penguatkuasaan menyelesaikan aduan dalam tempoh 14 hari meningkatkan keyakinan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di pasaraya di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 137 anggota penguatkuasa dan 62 pegawai pemantau harga telah ditugaskan di lokasi strategik antaranya pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah sepanjang skim yang bermula hari ini sehingga 2 Februari depan. – KOSMO! ONLINE