GEORGE TOWN – Kerajaan negeri akan mengambil langkah tegas untuk menangani masalah tunggakan sewa dan penyelenggaraan Skim Perumahan Awam Kos Rendah Kerajaan Negeri dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melibatkan 7,854 unit rumah dengan jumlah mencecah RM17.7 juta.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, tunggakan tersebut bukan sahaja menjejaskan aliran kewangan negeri, tetapi turut merugikan golongan yang benar-benar layak menikmati kemudahan perumahan ini.
“Masalah ini berpunca daripada pelbagai isu seperti penyewa yang tidak membayar sewa hingga bertahun-tahun, kehilangan kelayakan berdasarkan pendapatan dan kegagalan membayar yuran penyelenggaraan yang berterusan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Terdahulu, Sundarajoo mengumumkan mengenai penambahbaikan garis panduan Rumah Mampu Milik (RMM) Pulau Pinang dan penjenamaan semula nama dan logo bagi Rumah Mampu Milik (RMM) kepada Rumah Mutiaraku.
Tambahnya, bagi kes tunggakan yang terlalu lama, terutama sejak era 1970-an hingga 1990-an, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk menghapus kira hutang lapuk melibatkan penyewa yang telah meninggal dunia atau gagal dikesan. – KOSMO! ONLINE