fbpx

Tidak pilih kasih pemain tempatan, warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CKLAMOVSKI (tengah) hadir pada majlis menandatangani perjanjian antara PUMA Malaysia dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia di Sunway Pyramid Mall semalam. - FARIZ RUSADIO

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski membuka pintu buat semua pemain tidak kira anak tempatan atau berdarah warisan untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang.

Cklamovski yang memulakan tugas rasmi selaku pengendali Harimau Malaya pada minggu ini turut percaya pasukan negara sudah memiliki asas bola sepak yang kukuh.

Kata jurulatih dari Australia itu, barisan kejurulatihan turut mengenal pasti beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki sebelum mengharungi cabaran sebenar pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan.

“Saya sangat bangga dapat menjadi pengendali Malaysia dan saya lihat kita sudah ada asas yang kukuh. Namun, ada beberapa kelemahan perlu kita perbaiki dalam usaha ke arah yang lebih baik.

“Apa yang pasti, saya teruja untuk berjumpa dan menjalinkan kerjasama dengan semua pihak terutama barisan pemain.

“Semua pemain akan memiliki peluang untuk bersama skuad kebangsaan tidak kira sebagus mana pun atau berapa umur tetapi jika anda dapat buktikan keupayaan, anda layak (dipanggil).

“Saya mahu sesiapa sahaja dipanggil dapat berikan sepenuh jiwa untuk memastikan penyokong teruja dengan apa yang bakal mereka saksikan (di atas padang),” katanya ketika ditemui semalam.

Cklamovski turut mengakui visi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sebagai salah satu faktor utama beliau memilih untuk menyertai ‘revolusi’ Harimau Malaya.

“Tunku Mahkota Ismail seorang yang memiliki jiwa besar. Tanpa sentuhan serta perancangannya dalam projek Harimau Malaya, mungkin tidak akan jadi seperti ini,” katanya.

Cklamovski diberi sasaran utama layak ke Piala Asia 2027 selain memastikan Harimau Malaya berada dalam kelompok 100 terbaik dunia.

Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Laos dan Nepal pada aksi kelayakan nanti dengan posisi juara sahaja yang mengesahkan slot automatik ke kejohanan berprestij di Arab Saudi pada dua tahun lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI