IPOH – Bantuan kebajikan kepada 55 kanak-kanak yang berada di bawah pengurusan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) Perak yang sudah dituntut oleh ibu bapa dan waris masing-masing baru-baru ini terus menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, inisiatif terhadap kanak-kanak itu akan diteruskan terutamanya melibatkan sesi kaunseling.
Katanya, pada peringkat awal pihaknya bertindak berdasarkan kes yang diberikan terutamanya melibatkan perlindungan dan soal kebajikan.
“Isu-isu kebajikan ini akan sentiasa berterusan bukan sahaja fokus isu GISBH ini kerana mana -mana yang melibatkan kebajikan terutamanya kanak-kanak memang dalam tindakan dan pemerhatian JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) Perak,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Watikah Ahli Perwakilan Persidangan Perundingan Wanita Perak 2025 di Foyer SUK , Bangunan Perak Darul Ridzuan. – KOSMO! ONLINE