LENGKAP. Satu perkataan yang cukup mendalam maknanya buat penyanyi muda, Ismail Izzani. Dalam kalbunya, kebahagiaan sebenar hanya wujud apabila keluarga menjadi utuh, sempurna dan harmoni.
Empat tahun lalu, badai melanda keluarganya apabila perpisahan ibu dan bapa menjadi kenyataan perit untuk ditelan. Namun, seperti mentari yang tetap bersinar selepas gelap malam, jejaka berusia 25 tahun itu memilih untuk tidak larut dalam kepiluan.
Dengan jiwa besar, dia melangkah menerima takdir sebagai asbab untuk memulihkan kekuatan diri. Seperti pelangi yang muncul setelah hujan, kehidupan keluarganya kembali bermakna apabila ibunya, Suliza Salam membuka lembaran baharu apabila kembali mendirikan rumah tangga.
Kehadiran bapa tiri menjadi pelengkap kepada kekosongan ibunya membawa sinar kebahagiaan yang melimpah. Menariknya, Ismail mengakui dia sendiri menjadi pendorong utama ibunya berkahwin semula selepas melalui fasa kehidupan mencabar sebagai ibu tunggal.
Ujar pemilik nama sebenar Ismail Izzani Zainal Nazeri itu, keputusan dibuat setelah melihat hubungan wanita kesayangannya itu dengan lelaki yang kini menjadi bapa tirinya semakin rapat dan serasi.
“Sebenarnya saya yang suruh mama kahwin. Saya cakap, lebih baik mama teruskan hubungan ini sebab masing-masing sudah saling kenal dan bekerjasama. Saya berbincang dengan kakak dan adik-beradik lain, semuanya setuju dan gembira untuk mama,” katanya.
Jelas penyanyi lagu Iman itu, ibunya pada awal ragu-ragu untuk memulakan semula kehidupan berumah tangga kerana bimbang berhadapan cabaran baharu.
“Mama sebenarnya takut nak kahwin lagi. Dia rasa seperti tak yakin untuk mulakan sekali kehidupan baharu sebagai isteri.
“Tetapi saya katakan kepada mama, perkahwinan ini mungkin membuka rezeki lain. Semua ahli keluarga menyokong keputusan tersebut,” jelasnya.
Sebagai anak lelaki tunggal, Ismail mengakui kebahagiaannya berganda apabila melihat ibunya kini hidup riang bersama keluarga baharu yang turut menerima mereka dengan hati terbuka.
Hubungan dengan bapa tirinya yang sudah lama dikenali juga sangat rapat, tambahan pula lelaki tersebut banyak memberi dorongan kepadanya sejak remaja.
“Saya sangat gembira. Tak cukup kata untuk menggambarkan perasaan ini. Dengan kehadiran bapa tiri dan abang tiri, keluarga kami kini lebih besar dan lengkap.
“Mama layak untuk bahagia. Saya tahu betapa sukarnya perjalanan hidup dia sebelum ini dan sebagai anak manja, saya selalu ada bersama dia.
“Dia (bapa tiri) pula seperti mentor bagi saya. Ketika saya nak mula buat muzik, dia hadiahkan saya sebuah laptop. Sokongannya amat bermakna dan saya takkan lupakan jasa dia. Kami kini lebih banyak luangkan masa bersama,” ujarnya yang memiliki dua orang kakak Nurizzati dan Nur Falhi.
Sebelum ini, Suliza, 59, yang juga penyanyi era 1980-an, selamat bernikah dengan ahli perniagaan, Ismail A. Ahmad di kediamannya di Bukit Kiara pada 22 Disember tahun lalu. Sebelum itu, Suliza pernah berkahwin dengan ahli perniagaan Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pada 11 Januari 1991, namun pasangan itu tidak pernah berkongsi mengenai perceraian mereka.