PUTRAJAYA – Jemaah Menteri memutuskan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) untuk petugas kesihatan dibatalkan bagi memberi laluan kepada satu kajian lebih mendalam dan menyeluruh.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sehubungan itu, KKM menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan Tan Sri Abu Bakar Suleiman.
Katanya, terma-terma rujukan jawatankuasa ini terkait pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penjadualan waktu kerja.
“KKM akan meneruskan usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan adil untuk semua, terutamanya petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, KKM dalam surat edaran bertajuk Pelaksanaan Sistem WBB Fasa Pertama bertarikh 10 Januari, antara kandungan surat itu menyebut WBB diluluskan untuk projek Fasa Pertama oleh Ketua Setiausaha KKM pada 3 Januari lalu, membabitkan beberapa jabatan di hospital terpilih.
Pelaksanaan sistem itu mendapat kritikan antaranya berkait syif tugas doktor ditukar untuk bekerja selama 18 jam dari pukul 3 petang hingga pukul 9 pagi keesokannya sehingga mereka tidak mendapat elaun ‘on call’.
Bagaimanapun, Dzulkefly menjelaskan, pelaksanaan sesebuah projek rintis WBB hanya boleh dimulakan dengan kelulusan daripada menteri dan persetujuan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). – KOSMO! ONLINE