JELI – Penguatkuasaan ketat pihak berkuasa di kawasan pangkalan haram sepanjang Sungai Golok dekat sini sejak 1 Disember lalu dilihat memberi kesan yang baik kepada hubungan Malaysia dan Thailand.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan yang dijalankan ketika ini menunjukkan ketegasan dalam aspek keselamatan negara.
Menurutnya, sehubungan itu, beliau sudah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Menteri Dalam Negeri Thailand bagi memperincikan perkara tersebut.
“Kerajaan tidak akan berkompromi mengenai soal keselamatan negara. Penting untuk saya memainkan peranan dalam memberi kefahaman daripada perspektif keselamatan dengan negara jiran.
“Langkah yang diambil Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat (dalam usaha memperketatkan kawalan sempadan) mula menunjukkan kesan baik apabila aktiviti penyeludupan dapat dikekang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Membina Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, berdasarkan maklumat, pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok menjadi penyumbang kepada pelbagai kegiatan penyeludupan terutamanya barangan subsidi, dadah dan pemerdagangan manusia. – KOSMO! ONLINE