LUMUT – Kerajaan bersedia melaksanakan cadangan agar pelajar kemasukan baharu di semua 270 Institut Pendidikan MARA (IPMA) seluruh negara diwajibkan melalui ujian asas fardu ain termasuk kelancaran bacaan al-Fatihah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia bagaimanapun hanya dikuat kuasakan kepada pelajar beragama Islam sahaja, jika cadangan itu dipersetujui.
“Saya sokong. Walaupun ada ayat al-Quran menyatakan tiada paksaan dalam Islam, tetapi adalah menjadi kewajiban kepada orang Islam memiliki asas fardu ain,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke kampus Institut Teknologi Marin Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIMET), di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengulas kenyataan Asyraf Wajdi sebelum ini yang mahu pelajar kemasukan baharu di 232 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) GiatMARA diwajibkan melalui ujian berkenaan. – KOSMO! ONLINE