Bagan Serai – Keluarga Amirul Akil Mohd. Izzat Emir,12, yang didakwa dipukul oleh seorang guru didalam kelasnya sehingga mendatangkan kecederaan pada 10 Disember tahun lalu akan mendapatkan keadilan menerusi saluran undang-undang.
Ibu mangsa, Syahmina Mohd. Azim, 39, berkata, dia kecewa kerana tiada tindakan lanjut atau lawatan dari pihak sekolah mahupun Pejabat Pendidikan Daerah sehingga ini berhubung isu dihadapi anaknya biarpun telah beberapa kali membuat janji untuk berbincang.
“Kami sekeluarga memutuskan untuk membawa perkara ini ke mahkamah dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan isu ini dan mendapatkan keadilan untuk anak kami.
“Selain daripada itu kami sekeluarga turut berbincang untuk mendapatkan hak ganti rugi atas kecederaan yang dialami sehingga menyebabkan anak bongsu kami tidak dapat menjalani latihan dan mengikuti dalam pertandingan sukan renang disebabkan insiden tersebut.” katanya pada sidang akhbar di Club House Bukit Merah disini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan dan telah kemukakan kepada Timbalan Pendakwa raya dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – KOSMO ONLINE