KUALA LUMPUR – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) melancarkan kempen ‘Simpan Berganda Menang Bergaya 4.0’ (SBMB 4.0), dengan nilai keseluruhan hadiah hampir RM2 juta.
Ketua Perbankan Pengguna Kumpulan MBSB Bank, Usman Ghouse berkata, SBMB 4.0 bukan sekadar ganjaran, kempen ini adalah tentang mencipta peluang.
Katanya, ingin memperkasakan pelanggan untuk menyimpan dengan lebih bijak, menetapkan matlamat yang lebih tinggi dan mencapai impian mereka.
“Kempen ini mencerminkan komitmen MBSB Bank untuk memberikan nilai dan mengubah kehidupan melalui disiplin kewangan.” katanya pada pelancaran kempen tersebut di sini baru-baru ini.
Menurut Usman, sebagai salah satu inisiatif utama MBSB Bank, SBMB 4.0 membawa ganjaran pelanggan ke tahap baharu dengan hadiah luar biasa yang ditawarkan khas untuk mencetus inspirasi dan mengubah kehidupan pelanggan.
“Sorotan kempen tahun ini termasuk hadiah utama seperti satu unit BYD Sealion 7 dan Proton e.MAS 7 (lima unit), kenderaan elektrik canggih terbaharu yang menggabungkan kemewahan dan prestasi.
“Pelanggan juga berpeluang memenangi percutian mewah ke Scandinavia untuk dua orang dalam kelas perniagaan dan pakej ubah suai rumah bernilai keseluruhan sehingga RM350,000, menjadikan SBMB 4.0 salah satu kempen simpanan paling menarik di negara ini,” ujarnya.
Katanya, pelanggan MBSB Bank mempunyai masa sehingga 31 Disember tahun ini untuk menyimpan dengan lebih bijak dan merebut ganjaran luar biasa.
“SBMB 4.0 bukan sekadar kempen, tetapi peluang untuk mengubah perjalanan simpanan anda.
Ujarnya, untuk menyertai kempen menarik ini, pelanggan perlu mempunyai atau membuka Akaun Semasa/Akaun Simpanan-i (CASA-i) Prime Win dengan deposit minimum RM200. -KOSMO! ONLINE