fbpx

K2

Lima cara atasi anak cerewet makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu bapa perlu membiarkan anak-anak menyentuh makanan mereka. – Gambar hiasan

MAKANAN sangat penting untuk tumbesaran anak-anak terutamanya yang diperbuat daripada bahan-bahan berkhasiat. Namun, sukar bagi ibu bapa untuk memberi makan kepada anak-anak, jika si manja cerewet (picky eater).

Perkara itu boleh merisaukan ibu bapa kerana khuatir jika anak-anak mereka tidak mendapat zat makanan mencukupi, sekali gus menjejaskan perkembangan tumbesaran.

Perkara ini juga boleh mencetuskan suasana tegang dan beremosi kerana kanak-kanak pastinya tidak suka apabila dipaksa apatah lagi perlu menjamah makanan tidak digemari.

Sehubungan itu, K-Wanita pada minggu ini mencadangkan lima cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengatasi masalah anak cerewet makan.

 

Variasikan hidangan anak-anak

PARA ibu boleh mencuba menyediakan beberapa hidangan berkhasiat, dan biarkan anak-anak memilih makanan yang mereka mahu makan. Ini sekali gus membuka ruang kepada anak-anak untuk meneroka makanan baharu.

Harus diingat, usia kanak-kanak adalah fasa permulaan perkembangan untuk mereka menimba sebanyak mungkin perkara baharu dalam kehidupan.

Mungkin ada sesetengah makanan itu memberi rasa yang kurang enak kepada mereka.

Oleh itu, sebagai ibu bapa, anda jangan berputus asa dan sentiasa peka dengan kemahuan anak.

Jadikan makanan lebih menarik

BUKAN sahaja kanak-kanak, orang dewasa juga akan tertarik jika makanan dihidangkan dengan cara menarik menerusi pelbagai bentuk dan warna.
Justeru, anda boleh mencuba kaedah ini untuk menarik minat anak-anak menjamah makanan dengan penyediaan lebih kreatif. Contohnya, membuat bentuk makanan tertentu seperti kartun atau haiwan kegemaran mereka.
Para ibu bapa tidak perlu risau kerana di pasaran sekarang terdapat pelbagai peralatan yang boleh digunakan untuk membentuk dan menghias makanan. Pastinya, ia dapat membuka selera anak-anak.

Sabar, jangan paksa anak

BERDEPAN dengan anak-anak yang cerewet makanan kadangkala boleh mencetuskan emosi. Jadi, ibu bapa perlu bersabar dan jangan memaksa mereka untuk makan makanan yang tidak disukai.
Berikan anak-anak masa untuk mencuba makanan tersebut beberapa kali. Jangan buat mereka berasa tertekan.
Kebiasaannya, anak-anak memerlukan lebih 10 kali percubaan untuk mereka menerima makanan itu.

Biarkan anak menyentuh makanan

DALAM fasa kanak-kanak yang sedang berkembang, banyak perkara asing bagi mereka. Oleh itu, wajarlah jika mereka menolak makanan yang dianggap pelik atau asing.
Sehubungan itu, ibu bapa perlu membenarkan anak-anak menyentuh makanan mereka dan bukannya terus menyuap ke dalam mulut. Biarkan deria sentuhan dan rasa berhubung.

Beri snek sihat

POLA pemakanan kanak-kanak tidak sama seperti orang dewasa yang makan makanan berat seperti nasi. Mereka tidak makan terlalu banyak dalam satu-satu masa.
Oleh itu, bagi memastikan mereka kenyang dan cukup nutrisi, ibu bapa boleh memberikan anak-anak snek berkhasiat seperti jus buah, kekacang, biskut bijirin penuh, sandwic dan buah-buahan siap dipotong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI