BENTONG – Seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod jenayah dan kesalahan dadah berjaya ditahan pihak polis semalam selepas dikejar dari Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) sehingga ke Kampung Lebu, di sini.
Dalam kejadian itu suspek berusia 37 tahun yang berjaya ditahan kira-kira pukul 4.08 petang turut terkena tembakan di bahagian lengan.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam kejadian itu suspek yang memandu kereta jenis Proton Inspira dengan laju dan berbahaya di Kilometer 58 LPT1 telah dikejar kereta peronda polis (MPV).
“Kereta dipandu suspek masuk ke laluan Lingkaran Tengah Utama dan kemudian terserempak dengan sebuah kereta MPV polis di lampu isyarat Kampung Lebu menghala ke Mempaga dan MPV polis tersebut mengejar suspek sehingga ke Jalan Kampung Lebu-Klau.
“Suspek kemudiannya melanggar pintu penumpang belakang MPV dan anggota polis melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek bagi memberhentikan, namun sekali lagi suspek melanggar pintu belakang sebelah kanan MPV sebelum kereta dipandu suspek terbabas di tepi jalan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, suspek yang mengalami kesan luka di bahagian lengan kiri dipercayai terkena tembakan ditahan dan dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Katanya, pemeriksaan terhadap suspek turut menemukan tiga biji pil disyaki eramin 5 dan satu peket mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
“Pemeriksaan dalam kereta dipandu suspek menemukan sebungkus cecair disyaki air ketum dan peralatan menghisap dadah,” katanya.
Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut masih giat dilakukan. – KOSMO! ONLINE