PETALING JAYA – Pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS) telah menerbitkan tranche kedua SRI Sukuk Wakalah Sosial ASEAN berjumlah RM400 juta, di bawah program Sukuk Wakalah sedia ada LBS yang bernilai RM750 juta.
Tranche kedua tanpa jaminan itu diterbitkan dengan kadar pengagihan berkala sebanyak 4.81 peratus setahun dan tempoh matang selama tujuh tahun, iaitu pada 23 Januari 2032.
Ia menerima sambutan menggalakkan daripada pelabur, dengan kadar lebihan langganan sebanyak 5.27 kali ganda, menghasilkan jumlah buku pesanan akhir sekitar RM2.1 bilion.
Program Sukuk Wakalah tersebut diberi penarafan AA- dengan tinjauan stabil oleh MARC Ratings Berhad.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr. Lim Hock San berkata, penerbitan tranche kedua itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha pihaknya untuk mengintegrasikan elemen kemampanan ke dalam operasi perniagaan.
“Hasil daripada penerbitan ini akan membolehkan kami memperkukuh portfolio projek perumahan mampu milik, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti dan memupuk impak sosial yang positif.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk mengimbangi pertumbuhan perniagaan yang mampan dengan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, penerbitan tersebut mengukuhkan lagi dedikasi LBS dalam memenuhi keperluan masyarakat, selaras dengan perubahan dan perkembangan semasa.
Penerbitan diuruskan oleh HSBC Amanah Malaysia Berhad, Maybank Investment Bank Berhad, dan RHB Investment Bank Berhad, yang bertindak sebagai pengurus utama bersama untuk Tranche Kedua. – KOSMO! ONLINE