MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim menarik nafas lega dengan prestasi pasukan untuk meletakkan sebelah kaki ke pusingan 16 terbaik dengan mengumpul 15 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Kejayaan itu hadir selepas United mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Rangers pada aksi Liga Europa di Stadium Old Trafford awal pagi tadi.
Bruno Fernandes sekali lagi membuktikan kualitinya apabila muncul wira United dengan gol kemenangan pada penghujung perlawanan.
“Semua pemain telah menjalankan tugas dengan baik dengan meningkat kawalan bola berbanding perlawanan lepas. Kita sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol tetapi apa yang penting kita dapat tiga mata,” katanya.
Dalam aksi itu, United terlebih dahulu meraih gol pertama menerusi jaringan sendiri penjaga gol Rangers, Jack Butland pada minit ke-52.
Rangers kemudiannya bangkit mengikat kedudukan 1-1 menerusi penyudah Cyriel Dessers pada minit ke-89 sekali gus dilihat hampir-hampir berjaya membawa pulang satu mata berharga dari Old Trafford.
Bagaimanapun, Fernandes tampil menyelamatkan maruah United dengan gol kemenangan berselang tiga minit kemudian pada minit ke-90+2. – AGENSI