MARAN – Seorang kanak-kanak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang dipandu bapanya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 164.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu turut menyebabkan lima lagi termasuk seorang bayi berusia setahun mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menaiki kenderaan jenis Toyota Alphard bersama lima ahli keluarganya dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu.
“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba kenderaan dinaiki mangsa terlanggar pada bahagian belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan sebelah kiri kerana mengalami kerosakan pada bahagian tayar belakang sebelah kiri.
“Akibat kemalangan penumpang hadapan yang berusia 12 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan empat lagi penumpang mengalami kecederaan,”katanya di sini hari ini.
Katanya mangsa yang maut dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera di rawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
Katanya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan permukaan jalan kering serta cuaca baik.
Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati pemandu lori memberhentikan lori di lorong kecemasan sebelah kiri kerana hendak menukar tayar belakang sebelah kiri yang rosak dan kon diletakkan di belakang lori sebagai tanda amaran. – KOSMO! ONLINE