PETALING JAYA – Beregu lelaki sensasi negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk mara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters selepas menewaskan gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Won Ho pada aksi suku akhir sebentar tadi.
Aaron-Wooi Yik yang menduduki ranking No. 5 dunia hanya memerlukan masa 41 minit untuk menang ke atas Min Hyuk-Won Ho dengan kemenangan straight set 21-19, 21-15 di Stadium Istora Senayan, Jakarta.
Gandingan juara dunia edisi 2022 itu bakal menentang rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang turut lolos ke separuh akhir esok.
Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun menewaskan satu lagi wakil senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King 21-16, 21-16.
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut menceriakan kem negara untuk melakar keputusan straight set ke atas juara Terbuka Malaysia 2025 dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumo 21-15, 21-16. – KOSMO! ONLINE