HOFFENHEIM – Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou memuji impak kapten, Son Heung-min untuk membantu pasukan melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Hoffenheim dalam aksi Liga Europa awal pagi tadi.
Pada aksi di Prezero Arena itu, Heung-min berjaya meledak dua gol dengan satu lagi dihasilkan oleh James Maddison, manakala pasukan tuan rumah mendapatkan jaringan menerusi ledakan Anton Stach serta David Ngabi Ntusu.
Kata Postecoglou, kemenangan yang diraih cukup penting bagi menutup badi pasukan yang sebelum ini telah merekodkan lima kekalahan dalam lapan perlawanan kompetitif.
“Saya gembira apabila pemain-pemain senior menunjukkan contoh yang baik terutama Heung-min yang kembali menemui sentuhan penyudah dengan meledak dua jaringan kali ini selain satu daripada Maddison.
“Apa yang pasti, semua pemain ketika ini berusaha untuk menepis kritikan yang dilemparkan ke atas mereka sejak beberapa perlawanan lepas.Apa yang berlaku bukan mudah, namun kami masih melakar kemenangan dengan bantuan lima pemain remaja,” katanya.
Sementara itu, Postecoglou turut mengesahkan penyerang utama pasukan, Dominic Solanke terpaksa disisihkan sehingga Mac depan selepas mengalami kecederaan serius pada minggu lalu.
“Kami bernasib baik apabila Solanke tidak perlu menjalani pembedahan dan garis masa yang diberikan ketika ini hanyalah enam minggu. Saya harap dia dapat kembali lebih awal bersama pasukan sebelum berakhir musim ini,” katanya. – AGENSI