fbpx

Hamilton terpukau kemampuan Ferrari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMILTON menguji jentera Ferrari buat kali pertama selepas berhijrah daripada Mercedes. - AFP

MILAN – Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton menggambarkan pengalaman pertamanya memandu jentera Ferrari sebagai saat yang sangat menyentuh hati dan kenangan terbaik dalam hidupnya.

Pelumba berusia 40 tahun itu melengkapkan 30 pusingan sesi ujian di litar Fiorano milik Ferrari kelmarin dengan menggunakan jentera Ferrari F1 2023 menandakan langkah pertama pelumba legenda itu bersama pasukan baharu Formula Satu (F1) musim ini.

“Ketika saya menghidupkan enjin dan memandu keluar dari garaj, senyuman lebar terus terukir di wajah saya. Ia mengingatkan kali pertama saya memandu kereta F1. Ia adalah perasaan yang sangat istimewa dan kini hampir 20 tahun kemudian, emosi itu sama seperti dulu.

“Saya tahu betapa semangatnya keluarga Ferrari. Tetapi apabila anda berada di dalamnya, merasakannya sebagai pemandu Ferrari, ia benar-benar menyentuh hati. Semangat mereka seperti mengalir dalam darah,” ujar Hamilton.

Ketua Pasukan Ferrari, Frederic Vasseur berkata, ujian tersebut menjadi momen istimewa buat Ferrari yang menyambut kehadiran pemandu baharunya dalam pasukan itu.

“Setiap tahun, hari pertama di litar sentiasa penuh dengan emosi, sama seperti kembali ke sekolah. Ia lebih istimewa kerana hari pertama Lewis sebagai keluarga Ferrari. Menyambut pemandu baharu adalah saat penting bagi kami,” katanya.

Ujian di Fiorano adalah sebahagian daripada proses penyesuaian Hamilton dan dia dijangka menjalani ujian tambahan di Circuit de Barcelona-Catalunya di Sepanyol selepas ini.

Hamilton juga akan mendapat peluang untuk mencuba jentera Ferrari 2025 semasa pelancaran rasmi yang dijadualkan berlangsung pada 19 Februari nanti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI