MELAKA – Dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menerima barangan berharga iaitu wang tunai tanpa balasan daripada seorang kontraktor, tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Zaini Abu, 59, dan Zulfiza Abas, 38, sejurus pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didapati bersalah menerima wang tunai berjumlah RM2,500 daripada seorang lelaki berusia 40 tahun tanpa balasan dengan mengetahui ia mempunyai hubungan dengan kerja rasmi mereka semasa menjalankan tugasan rondaan di sekitar Jasin.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10.52 malam di kawasan Rehat dan Rawat Tol Jasin pada 13 Mei 2024.
Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin dalam prosidingnya mencadangkan hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada kedua tertuduh dan masyarakat.
Peguam Mohd. Ishak Mohd. Kari yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman minimum dikenakan dengan alasan anak guamnya iaitu Zaini akan bersara tahun hadapan dan masih menanggung dua anak yang masih belajar.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 seorang atau penjara lima bulan jika gagal bayar dan kedua-dua tertuduh membayar denda tersebut.