PETALING JAYA – Seramai tiga buruh warga Bangladesh yang disyaki dipukul dan tidak dibayar gaji diselamatkan polis dalam serbuan ke atas sebuah kilang, di sini semalam.
Kegiatan itu dikesan menerusi operasi dijalankan pegawai dan anggota daripada Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) Bukit Aman dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.
Ketua Penolong Pengarah D3 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mangsa berusia di antara 28 hingga 35 tahun diselamatkan di bawah Seksyen 44(1) Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
“Mangsa diselamatkan telah bekerja selama satu hingga lima tahun yang didakwa telah dipukul, diugut serta tidak dibayar gaji dan tidak mempunyai tempat tinggal yang kondusif.
“Siasatan ke atas kilang barangan pembuatan perabot dan premis kitar semula turut didapati tidak mempunyai lesen perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Soffian berkata, dalam serbuan itu, polis membuat tangkapan seramai 29 warga asing di atas pelbagai kesalahan.
Katanya, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 48 tahun yang merupakan pemilik dan pengurus kilang ditahan di bawah Seksyen 12 Akta Atipsom serta Seksyen 55B Akta Imigresen.
Selain itu, polis turut menahan pengurus premis kitar semula iaitu seorang lelaki warga India berusia 40 tahun di bawah Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B Akta Imigresen.
“Enam lagi lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki India berusia lingkungan 26 hingga 47 tahun ditahan di bawah seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 termasuk seorang lelaki warga Bangladesh berusia 29 tahun di bawah Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63.
“Lima tangkapan lain membabitkan 16 lelaki warga Bangladesh, serta seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan India berusia di antara 23 hingga 47 tahun di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Tambahnya, MBPJ turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 101 (v) Akta Kerajaan Tempatan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen. – KOSMO! ONLINE