JITRA – Seorang kanak-kanak yang suatu ketika lincah di sekolah kini hanya mampu duduk di depan pintu rumah menunggu rakan-rakannya datang bersembang selepas disahkan menghidap kanser limforma burkitt sejak September lalu.
T. Shaanjiv, 10, terpaksa melupakan sukan bola sepak dan bola keranjang yang diminatinya selepas diserang penyakit itu secara tiba-tiba yang membuatkannya cepat letih dan tidak bermaya.
Ibunya, G. Kavitha, 39, berkata, anaknya sebelum ini seorang yang aktif bersukan hinggakan dia selalu memarahi Shaanjiv kerana bermain bola sepak di dalam rumah.
“Dia dan adik beradiknya yang lain kumpul banyak piala dan medal sehinggalah pada suatu hari dia tiba-tiba mengadu sakit perut sampai menangis sebelum kami bergegas membawanya ke hospital.
“Selepas menjalani ujian biopsi, pihak hospital mengesahkan anak saya menghidap kanser. Kini kami sering membawanya untuk menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang,” katanya.
Terdahulu, dua beranak itu menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal di rumah mereka di Jalan belakang Sekolah Kebangsaan Cina Hwa Min, Pekan Tunjang di sini baru-baru ini.
Menurut Kavitha, selepas menjalani tiga pusingan kemoterapi, anaknya dilihat semakin sihat dan amat berharap dapat kembali ke sekolah pada sesi akan datang.
Tambahnya, kanser memberi kesan besar kepada anaknya apabila hanya mampu terperuk di rumah dan tidak lagi ke sekolah walaupun terletak bersebelahan rumahnya.
“Kadangkala dia duduk di muka pintu, manakala rakan-rakannya pula datang menghampiri pagar sekolah untuk bersembang. Melihat keadaan itu, saya memang sedih kerana dia dulu memang sangat aktif hingga terpilih mewakili pasukan bola keranjang sekolah,” katanya.
Ujar Kavitha, anaknya kini hanya minum susu khas berharga RM90 untuk satu tin 800 gram.
“Suami, J. Tanabalasingan hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan gaji RM1,500 sebulan, manakala saya hanyalah suri rumah. Kami kena berjimat kerana memiliki lima anak lain selain perlu menyediakan untuk membawa Shaanjiv mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana jaraknya yang jauh,” katanya.
Mana-mana pihak yang mahu membantu boleh menyalurkan ke akaun Public Bank bernombor 6451298201 milik Kavitha atau menghubunginya di talian 011-3617 7156.