fbpx

Berhenti lihat Singapura sebagai pesaing – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi.

PETALING JAYA – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) merupakan satu model kerjasama baharu yang berhenti melihat Singapura sebagai pesaing.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, usaha merentas sempadan tersebut adalah satu langkah besar meninggalkan pendekatan lama.

“Kita berhenti melihat jiran kita sebagai pesaing. Sebaliknya, kita mencari situasi menang-menang yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Mengakui bahawa kekangan yang kita hadapi boleh diatasi jika kita menggunakan kekuatan unik antara satu sama lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau berkata, ramai pelabur global bertanya tentang insentif korporat dan peraturan JSSEZ, manakala orang awam tertanya-tanya sama ada ia benar-benar akan mengubah kehidupan harian mereka.

Rafizi berkata, terdapat kira-kira 500,000 individu berulang-alik setiap hari merentasi sempadan Johor-Singapura menjadikannya salah satu sempadan paling sesak di dunia.

Menurut beliau, penggunaan kod QR di kedua-dua sisi sempadan dijangka dapat mengurangkan kesesakan sehingga 20 peratus.

Kata beliau, dengan pembinaan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang sedang berlangsung akan memajukan infrastruktur pengangkutan dan meningkatkan kesalinghubungan.

Tambah beliau, JSSEZ juga peluang untuk berkembang kerana Johor adalah kira-kira lima kali lebih besar berbanding Singapura.

Kata beliau, ia menawarkan peluang kepada syarikat untuk mendapatkan akses kepada tanah yang lebih luas sambil mengekalkan akses kepada ekosistem kewangan Singapura.

“Ditambah dengan pelbagai insentif cukai, ini direka untuk membantu syarikat mengembangkan kehadiran mereka dan kekal berdaya saing.

“Langkah ini memerlukan kepimpinan dan keberanian yang sebenar, dari kedua-dua Malaysia dan Singapura untuk tidak membiarkan masa lalu menentukan masa depan kita,” katanya.

Beliau berkata, jika JSSEZ mampu mencapai potensi penuh, ia boleh menjadi pendahulu kepada integrasi ASEAN yang lebih besar.

“JSSEZ adalah peluang untuk menjadi pelopor dan meramal gelombang besar permintaan pengguna seterusnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI