SEREMBAN – Seorang kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya, tahun lalu.
Tertuduh berusia 39 tahun yang merupakan bapa kepada empat orang anak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 14 tahun sembilan bulan ketika kejadian di kolam sebuah inap desa dekat Port Dickson pada 9 April 2024.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Mac depan bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE