YAN – Kawasan peranginan Titi Hayun di sini yang pernah menjadi tumpuan orang ramai bermandi-manda suatu ketika dahulu semakin kering walaupun baru seminggu tanpa hujan.
Tinjauan Kosmo! mendapati sungai di Titi Hayun yang pernah ditimpa bencana kepala air pada tahun 2021 menjadi kering, sekali gus mengecewakan pengunjung yang datang beriadah di kawasan tersebut pada musim cuti sekolah.
Penduduk kampung, Halim Ahmad, 56, berkata, perkara itu merupakan fenomena biasa sejak kejadian kepala air dahsyat empat tahun lalu.
“Titi Hayun sudah tidak seperti dulu lagi. Airnya semakin kering kalau tiada hujan. Jika hujan pula arusnya menjadi sangat deras. Kami (penduduk) juga kerap menasihatkan pengunjung supaya sentiasa berjaga-jaga.
“Kalau sudah lama tidak hujan atau musim kemarau yang dijangka berlaku bulan depan jangan datang sebab tiada air (kering), cuma batu-batu yang kelihatan,” katanya ketika ditemui semalam.
Halim berkata, keadaan sama turut berlaku di kawasan peranginan berdekatan iaitu Air Terjun Seri Perigi dan Batu Hampar.
“(Keadaan) Seri Perigi lagi teruk bila musim kemarau. Kejadian kepala air memang merubah landskap kawasan peranginan di sini. Kasihan juga ada (pengunjung) yang datang dari jauh, tetapi air sungai kering,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Fatimah Abu, 60, memberitahu, mereka sekeluarga berkunjung ke pusat peranginan tersebut untuk beriadah sempena musim cuti sekolah.
“Saya datang membawa cucu dari Kuala Lumpur sebab dia mahu mandi-manda. Tak sangka kering begini, cuma batu yang kelihatan. Dahulu air sungai ada, tetapi sekarang banyak batu.
“Tetapi saya tetap beriadah di sini bersama cucu sebab hendak pergi tempat lain pun makan modal,” katanya yang menetap di Merbok.
Sementara itu, Pengarah Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, Jelapang Padi akan menyaksikan cuaca semakin kering dan panas menjelang bulan depan sebelum Monsun Timur Laut tamat pada Mac ini.
“Taburan hujan makin berkurangan dengan suhu akan meningkat cecah 38 darjah Celsius menjelang Februari hingga Mac. Jika berlaku ribut petir atau hujan ia berpunca daripada luluran monsun dari negeri lain seperti Pantai Timur,” katanya. -KOSMO! ONLINE