JELI – Aplikasi MyBorderPass yang mendaftarkan maklumat perjalanan sebelum menggunakan sistem autogate kod respons pantas (QR) sudah memberi manfaat kepada seramai 150,000 pengembara warganegara Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu diperoleh selepas 21 hari aplikasi itu diperkenalkan.
Menurutnya selain itu, aplikasi tersebut juga sudah dimuat turun sebanyak 500,000 pengguna sepanjang tempoh tersebut.
“Aplikasi MyBorderPass memberi kemudahan kepada pengembara untuk melepasi sempadan negara hanya dalam tempoh tiga saat.
“Ini merupakan satu langkah inovatif ke arah mempercepatkan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan memperbaiki imej negara khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Membina Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini hari ini.
Saifuddin memberitahu, sehubungan itu, Jabatan Imigresen menambah 40 kaunter sistem pagar automatik (autogate) di KLIA pada tahun ini untuk memudahkan urusan selain mengelakkan sebarang isu melibatkan integriti.
Menurutnya, meskipun sistem pagar automatik digunakan di lapangan terbang itu, Jabatan Imigresen tetap akan membuka sebanyak lima hingga 10 kaunter manual untuk sebarang urusan ke luar negara.
“Sistem QR itu akan diperluas ke lapangan terbang antarabangsa lain seperti di Pulau Pinang, Kota Kinabalu (Sabah), Kuching (Sarawak) dan Langkawi (Kedah) tidak lama lagi,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada awal bulan ini melancarkan sistem pelepasan imigresen menggunakan Kod QR di KLIA khusus buat warganegara Malaysia.
Melalui satu pengumuman di laman sosial Jabatan Imigresen, pengembara warganegara Malaysia boleh menggunakan kemudahan ini tiga langkah sahaja iaitu, muat turun aplikasi MyBorderPass dan Daftar.
Sistem itu bertujuan mengatasi kesesakan di pintu masuk imigresen dengan menawarkan kecekapan yang lebih tinggi serta difahamkan sebanyak 40 lorong khas akan disediakan untuk warganegara Malaysia di Terminal 1 dan 2 KLIA. – KOSMO! ONLINE