fbpx

‘Tak sangka ‘bro’ jadi suspek, tiada dendam antara kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zambri menunjukkan keadaan rumah dan kenderaan yang musnah dalam kebakaran pada 24 Disember lalu.

BALING – Salah seorang mangsa kebakaran rumah dipercayai akibat khianat di Kupang, di sini tidak percaya bekas rakan sekerjanya yang dipanggil ‘bro’ menjadi suspek kejadian itu.

Menurut Mohd. Zambri Ahmad, 45, suspek pernah bekerja di kilang getah, tempat dia bekerja, namun berhenti sejak beberapa tahun lalu.

“Saya dan dia tidak rapat dan jumpa sesekali sahaja. Dulu masa kerja pun kami tidak sama bahagian, tidak pernah pula saya dengar ada kes buli di situ.

“Dia pernah datang sekali sahaja ke rumah saya pada hari raya kira-kira empat tahun lalu. Saya rasa pelik kenapa dia mahu bakar rumah saya,” katanya ketika ditemui di tapak rumahnya di Kampung Bukit Terabak di Kupang, di sini hari ini.

Katanya, suspek tinggal di kampung berhampiran di kawasan Kupang itu dan jarang menemuinya

“Bila tahu dia jadi suspek, saya memang terkejut sebab kawan-kawan kita juga. Entah kenapa dia sanggup buat macam itu (bakar rumah), polis kata dendam, tetapi saya tidak tahu dendam apa. Saya tak buat apa-apa pun kepada dia.

“Kalau kata dendam, kenapa rumah lain yang tidak ada kena mengena dengan suspek pun dia bakar. Kami yang bukan orang senang ini terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit,” ujarnya.

Mohd. Zambry menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis dan berharap suspek dikenakan hukuman setimpal.

“Saya dan isteri tinggal sehelai sepinggang dan kerugian yang kami alami lebih RM150,000,” jelasnya.

Seorang lagi mangsa kebakaran di Kampung Tanah Periuk, Adnan Hasan, 40, berkata, dia tidak mengenali suspek kerana tinggal di kampung berlainan.

“Saya tidak bekerja di kilang getah, tempat suspek dikatakan bekerja sebelum ini. Jadi saya hairan juga kenapa rumah saya menjadi sasarannya.

“Rumah pusaka berusia 100 tahun musnah sepenuhnya dengan kerugian lebih RM300,000, waktu itu saya dan isteri berada di Kuala Perlis kerana mahu ke Langkawi. Selain kehilangan harta benda, tujuh ekor kucing di dalam sangkar juga rentung,” ujarnya yang merupakan jurutera sebuah syarikat swasta.

Seorang lagi mangsa, Rosimah Awang Itam, 58, memaklumkan dia juga tidak mengenali suspek.

“Perbuatan suspek itu menyebabkan saya sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, nasib baik saya dan lapan lagi ahli keluarga terselamat,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM300,000.

Kosmo! semalam melaporkan dendam akibat dibuli di tempat kerja disyaki menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar sembilan rumah di Kupang, Baling dekat sini sejak pertengahan bulan lalu hingga awal bulan ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek berusia 23 tahun yang merupakan penganggur dan penduduk di Kupang ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Isnin lalu.

“Kesemua sembilan kes khianat dengan api yang dilakukan suspek adalah berpunca daripada perasaan dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI