fbpx

Sultan Selangor saran LZS salur bantuan pemulihan pengikut GISBH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin berkenan menandatangani plak perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan bantuan asnaf riqab untuk pemulihan golongan terkait GISB Holdings (GISBH).

Baginda bertitah, peruntukkan dana khusus yang sewajarnya ini bagi pemulihan dalam membetulkan dan meluruskan aqidah mereka.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan LZS bahawa agihan zakat hendaklah disalurkan kepada golongan asnaf sebenar sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat ke 60.

“Lebih-lebih lagi dalam proses pemulihan golongan yang terlibat dengan ajaran salah seperti kumpulan GISBH, zakat bolehlah disalurkan kepada golongan ini melalui bantuan asnaf Ar Riqab.

“LZS hendaklah memperuntukan dana khusus yang sewajarnya untuk tujuan pemulihan golongan ini bagi memperbetulkan dan meluruskan aqidah mereka,” titah baginda sempena perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah, hari ini.

Sultan Sharafuddin menegaskan, zakat adalah ibadah yang disyariatkan untuk mengangkat martabat umat Islam.

Jelas baginda, sejarah membuktikan bahawa zakat bukan sekadar ibadah individu tetapi satu sistem sosial yang menjaga hak-hak manusia, melindungi maruah dan menegakkan maqasid syariah, khususnya dalam menjaga agama dan menjaga harta.

“Justeru, Beta mengingatkan kepada semua peringkat kutipan zakat termasuk amil-amil agar sentiasa jujur dan amanah serta menjaga integriti dan memastikan tiada penyalahgunaan kuasa kerana ia merupakan satu dosa yang amat besar jika amanah yang diberikan dikhianati.

“Beta amat menitikberatkan soal kejujuran dan integriti semua warga LZS dan menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang didapati menyeleweng dan tidak amanah di dalam menjalankan urusan dan tanggungjawab mereka termasuklah mengheret mereka ke mahkamah untuk diadili, ” titahnya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian LZS dari segi inovasi yang telah menjadi contoh ikutan kepada banyak negara seperti Indonesia dan Thailand.

Namun, baginda bertitah, agar aspek-aspek tadbir urus sentiasa ditambah baik dengan menerapkan pengurusan korporat yang mementingkan kecekapan, kredibiliti dan menjangkau masa hadapan disamping mematuhi piawaian serta ketetapan syariah.

“Bagi tujuan mengenal pasti para asnaf ini, Beta menyarankan agar khidmat ketua-ketua kampung, penghulu dan pegawai-pegawai agama daerah digunakan untuk menyalur segala maklumat bagi mengenal pasti golongan asnaf ini.

“Beta juga mengingatkan agar mereka yang tinggal di bandar yang termasuk di dalam miskin bandar juga tidak dilupakan bagi memastikan sama ada mereka jatuh di bawah salah satu dari lapan golongan asnaf,” titahnya. – KOSMO! ONLIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI