fbpx

Sinner hentikan kemaraan bintang Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SINNER

MELBOURNE – Juara bertahan, Jannik Sinner terus membuktikan kemampuannya apabila mudah menewaskan pilihan kelapan, Alex De Minaur dengan keputusan 6-3, 6-2, 6-1 dalam aksi suku akhir Terbuka Australia semalam.

Ia bukan sahaja mengesahkan tempat Sinner di separuh akhir, malah terus melebarkan penantian 49 tahun Australia untuk melihat juara perseorangan lelaki negara itu di pentas Grand Slam tersebut.

Pemain muda Itali berusia 22 tahun itu bakal berdepan pilihan ke-21 dari Amerika Syarikat, Ben Shelton dalam aksi separuh akhir di Arena Rod Laver, Melbourne esok.

Sinner yang kini memburu trofi Grand Slam ketiganya selepas memenangi Terbuka Amerika Syarikat pada September lalu, tampil dengan aksi cemerlang mematahkan impian De Minaur.

“Saya rasa hari ini semuanya berjalan lancar untuk saya. Apabila anda berjaya memecahkan servis lawan awal dalam setiap set, ia jadi lebih mudah.

“Alex (De Minaur) adalah pemain hebat dan lawan yang sukar. Malam ini, suasananya luar biasa, ramai yang datang untuk menyokongnya,” kata Sinner.

De Minaur yang menjadi harapan terakhir tuan rumah, terpaksa akur dengan kekalahan dalam usaha menjadi pemain lelaki Australia pertama mara ke separuh akhir Terbuka Australia sejak dilakukan oleh Lleyton Hewitt dua dekad lalu.

“Saya sudah bersiap sebaik mungkin. Perlawanan seperti ini boleh berakhir dengan cepat, tetapi keadaan boleh berubah dengan pantas. Saya menghormati Alex kerana dia telah memberikan cabaran besar,” tambah Sinner. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI