HAMPIR dua dekad berkelana dalam industri seni, Marsha Milan sudah mengukuhkan portfolionya dalam arena nyanyian, lakonan dan pengacaraan.
Pelbagai cabang seni diceburi, malah mengetepikan perihal kos dilaburkan demi bereksperimentasi dengan kemampuan diri sendiri.
Mahu berdikari atas kaki sendiri, wanita berusia 40 tahun itu juga mengakui lebih selesa tidak bergantung kepada bantuan kewangan suami untuk membiayai perbelanjaan berkaitan kerjaya seni.
Ujar Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, sumber kewangan diperoleh daripada syarikat rakaman dan wang simpanannya sendiri digunakan bagi merakamkan lagu atau membiayai kos persembahan besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Saya tidak mahu bergantung kepada wang suami kerana keputusan untuk terus menyanyi selepas berkahwin adalah permintaan saya sendiri,” katanya.
Pelantun lagu Cinta itu mengakui diberi pilihanmeninggalkan dunia seni demi perhatian kepada rumah tangga.
Dia bagaimanapun memilih meneruskan kerjaya seni dengan sokongan padu dan daripada suaminya, Mohamed Shaiful Nizam.
“Saya ada pilihan untuk tidak menjadi artis selepas kahwin, tetapi saya sendiri mahu teruskan menyanyi.
“Walaupun suami bukan orang hadapan dalam kerjaya saya, tapi dia individu penting yang menilai setiap hasil kerja saya,” kongsinya.
Mengulas saingan dalam AJL39, naib juara AJL36 itu mengakui tahap cabaran kali ini sangat tinggi, khususnya dalam ategori vokal terbaik.
“Tahun ini agak sukar kerana ramai finalis pernah menang trofi vokal terbaik. Itu yang membuatkan saya sedikit gementar.
“Netizen selalu bandingkan saya dengan Aina Abdul, Nadeera Zaini dan Ernie Zakri, tetapi saingan daripada penyanyi lelaki juga tidak kurang hebatnya,” ujarnya.
Edisi ke-39 menyaksikan 10 buah karya berentap merebut gelaran juara. Lagu tersebut adalah Diam nyanyian Hael Husaini, Puas Sudah (Aina), Hening Rindu (Marsha), Aura (Ernie Zakri), Terus Bersinar (Hafiz Suip) dan Pujaanku (Masdo ft Aishah Aziz).
Turut memberi saingan dalam AJL39 yang akan berlangsung pada 16 Februari nanti adalah Risiko (Benzoloo, Tuju & MK K-Clique), Sengaja (Amir Masdi), Saksama (Akim & The Majistret) dan Bukan Lagi Kita (Nadeera).