fbpx

Rayu JPN Besut mudahkan urusan anak buat MyKad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bibi Naziraini memangku Siti Nurul Batrisya yang terlantar akibat penyakit genetik ketika ditemui di Kampung La, Hulu Besut baru-baru ini.

BESUT – Seorang wanita merayu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya membantunya untuk memudahkan proses mendapatkan MyKad buat anak bongsunya yang kini terlantar akibat mengalami pelbagai penyakit genetik.

Bibi Naziraini Mat Ghani, 54, berkata, anaknya, Siti Nurul Batrisya Mat Imi yang mesra dipanggil adik tidak memiliki MyKad walaupun sudah berusia 12 tahun pada 3 Januari lalu.

Katanya, dia mengalami kesukaran membawa adik yang terlantar sejak lahir ke JPN Besut kerana kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) itu memerlukan penjagaan khusus.

“Adik dilahirkan normal sehinggalah dia tiba-tiba sesak nafas ketika berusia lima bulan. Dia kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan hampir setahun.

“Ketika itu oksigen tidak sampai ke otak adik hingga dia mengalami gangguan saraf yang menyebabkan tumbesarannya terbantut dan terus terlantar sehingga kini,” katanya ketika ditemui di Kampung La, Hulu Besut di sini baru-baru ini.

Menurut Bibi Naziraini, anak bongsu daripada lima beradik itu kemudian disahkan menghidap pelbagai penyakit lain seperti gangguan genetik, paru-paru obstruktif kronik dan Gastro Esofagus Refluks Disease (GERD).

Tambahnya, Siti Nurul Batrisya memerlukan perhatian sepenuh­nya 24 jam seperti seorang bagi dan hanya bergantung kepada susu khas yang menelan belanja RM1,000 sebulan termasuk lampin pakai buang dan perubatan.

“Saya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 meman­dangkan suami hanya bekerja kampung,” katanya.

Ujar Bibi Naziraini, dia memahami kepentingan memiliki MyKad untuk memudahkan urusan sehariannya termasuk perubatan dan bantuan.

“Saya berharap agar JPN dapat membantu saya untuk memudahkan proses membuat MyKad untuk adik,” rayunya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Siti Nurul Batrisya bernombor 1100541100159672 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubungi Bibi Naziraini di talian 013-718 0094.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI